Meskipun sudah mempunyai anak angkat, isteri kepada pelawak Achey, Nor Hasanah Yahaya tetap akan meneruskan usahanya untuk mempunyai zuriatnya sendiri.

Nor Hasanah berkata dia kini dalam proses untuk menjalani rawatan kesuburan IVF (in vitro fertilization).

“Insya-Allah saya dan suami akan tetap meneruskan segala proses kesuburan termasuk IVF.

“Kami tidak akan berputus asa untuk mendapatkan zuriat kami sendiri,” katanya kepada Astro Gempak.
Pasangan ini mengambil Nur Tiara Zinnirah Nasir sebagai anak angkat pada 6 Ramadan lalu.

Nur Tiara dilahirkan pada 15 Mei lalu pada pukul 8.05 malam di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pun begitu, Achey hanya berserah kepada Tuhan dan bersyukur dengan kehadiran Nur Tiara.

“Kami hanya berusaha dan berserah kepada rezeki Tuhan.

“Orang kata, rezeki ambil anak angkat ni lain dan mana tahu doa kami untuk menimang cahaya mata sendiri dimakbulkan.

“Bagaimanapun, kehadiran Nur Tiara sudah cukup membahagiakan kami,” katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, Achey bakal muncul dalam Super Spontan Xtravanganza yang bersiaran secara langsung dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat bermila 20 Julai, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).
Teks oleh: Syafiqah Jalal