Lebih 12 tahun bergelumang dalam bidang seni, pelakon Shakilla Khoriri menerima hakikat bahawa dia tidak akan dapat memegang watak utama.

Menurut Shakilla, dia sudah lama menerima kenyataan bakatnya kurang dihargai oleh stesen televisyen.

"Saya tak pernah merasa pendatang baru ini merupakan persaingan. Tetapi, sekarang ini kalau ingin menjadi pelakon, mudah saja.

"Kalau ada rupa cantik, pengikut di Instagram ramai, stesen televisyen ambil berlakon. Saya merasakan ramai yang lebih mementingkan rupa daripada kualiti lakonan," kata Shakilla.

Tambah isteri kepada penyampai radio Fizi Ali ini, pelakon baru yang mendapat tawaran berlakon tidak pandai menggunakan peluang sebaik mungkin.

"Masa tak ditepati, tak pandai hormat artis-artis yang sudah lama dalam dunia seni ini.

"Secara jujurnya, saya pernah terasa hati dengan pendatang baru tetapi saya percaya pada rezeki Allah," katanya kepada Gempak.

Bagaimanapun jelas Shakilla atau nama sebenar Nur Shakilla Mohamad Khoriri, dia memilih untuk terus berada di dalam industri seni kerana minatnya begitu mendalam.


Teks: Noor Zulaikha Yusof