Pelakon Siti Elizad mengakui mempunyai alasan tersendiri apabila mengambil keputusan untuk menyertai program Super Spontan Xtravaganza (SSX).

Menurut Elizad, dia mahu menguji kemampuan dirinya membuat lawak secara spontan kerana sebelum ini lebih banyak bergantung kepada skrip.

"Saya masuk program ini kerana nak mencabar diri melakukan sesuatu yang berbeza kerana sebelum ini sebagai seorang pelakon saya sentiasa bergantung kepada skrip.

"Jadi sebagai pemain dalam program ini saya harus cekap dalam melontarkan idea dengan pantas ia tidak ada skrip.

"Sebagai seorang pelakon saya cabar diri nak tengok benak (bodoh) ke pandai saya ni bermain secara spontan.

"Ia juga merupakan satu penghormatan kepada saya apabila dapat bekerjasama dengan ramai nama-nama besar dalam bidang komedi," katanya kepada Astro Gempak.

Elizad berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media SSX, di Hotel Putrajaya Marriott, baru-baru ini.

SSX akan bersiaran secara langsung dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat bermuula 20 Julai (malam ini), jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Bertemakan ‘tukang masak’, SSX membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej ‘tukang masak jalanan’ dan kumpulan Lobster Leleh mencerminkan imej ‘tukang masak di hotel’.

Buat julung kalinya juga program ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan iaitu 50 peratus daripada barisan juri dan 50 peratus lagi dari undian penonton.

Setiap kumpulan akan dikritik dan diniali oleh dua jri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama lagi seorang juri jemputan.

SSX turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan ‘on demand’.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto: Instagram