Penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura, Hannah Delisha menjelaskan bahawa kedatangannya di industri hiburan Malaysia bukan untuk bersaing bersama artis tempatan yang lain.

"Apabila saya menjejakkan kaki di Malaysia, saya tidak pernah terfikir untuk bersaing dengan artis-artis di Malaysia mahupun Singapura," kata Hannah.

Tambah pelakon drama bersiri Mencintaimu Mr Photographer ini, segala pekerjaan yang dilakukannya di sini merupakan rezeki yang datang dari Allah.

"Semuanya kurniaan Allah. Kebolehan menyanyi dan berlakon datang dari-Nya. Bakat yang saya ada pun pemberian dari Allah.

"Saya sudah dikurniakan bakat, jadi apa salahnya jika saya gunakan dan tidak melepaskan peluang yang datang," katanya.

Hannah yang merupakan duta jenama telefon pintar Huawei Nova ditemui di majlis pelancaran Huawei Nova 3 dan Nova 3i bertempat di Lightbox, Sungai Buloh, sebentar tadi.

Dalam perkembangan lain, artis yang berusia 22 tahun ini akan muncul dalam filem Langsuir bersama Syafiq Kyle.

Filem arahan Osman Ali ini bakal ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.

Teks : Asraf Aided