Penantian Wani Kayrie menyertai pertandingan World Championship of Performing Arts 2018 (WCOPA 2018) di Hollywood buat kali kedua berkecai.

Wani tidak dapat mewakili Malaysia di Los Angeles, Amerika Syarikat adalah disebabkan kegagalan memperoleh penaja untuk membiayai perbelanjaan di sana.

"Memang benar, saya tak jadi ke sana untuk menyertai pertandingan itu. Segala yang telah dirancang musnah kerana gagal memperoleh penaja untuk membiayai perbelanjaan di sana," kata Wani.

Tambah penyanyi lagu Jangan Jangan ini, pihak penganjur telah menaja sebanyak RM6,000 tetapi masih memerlukan tajaan berupa wang tunai sebanyak RM20,000 untuk menanggung kos lain seperti pembelian tiket penerbangan, penginapan dan sebagainya.

"Kegagalan tersebut sekali gus membantutkan niat saya untuk kembali bertanding," katanya lagi.

Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah pernah mewakili negara pada tahun 2012 dan telah berjaya memenangi lima pingat untuk lima kategori yang disertai.


Teks: Noor Zulaikha Yusof
Sumber: Utusan