Selepas single Terima Kasih dan Kembali, penyanyi Kaka Azraff akhirnya muncul dengan single terbaru, Sibuk.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 29, berkata, dia sekali lagi memilih khidmat Alif selaku penerbit, penulis lirik dan komposer.

Malah, bekas anggota kumpulan Sleeq itu juga merupakan gandingan Kaka dalam single Sibuk ini.

"Alif menampilkan lagu yang menggunakan bait-bait lirik yang ringkas dan 'catchy' diiringi gubahan muzik yang berkonsep segar dan moden.

"Hasrat saya dalam berkarya adalah untuk merancakkan lagi arena muzik tempatan dengan penghasilan karya yang unik sekaligus memberi pendengar lebih banyak seleksi dan pilihan muzik mengikuti citarasa masing-masing," katanya.

Kaka bakal mengeluarkan album penuh termasuk lagu baharu Sibuk dan ia dijadualkan hujung tahun ini.

Tambah pelakon filem Alif Dalam 7 Dimensi ini, dia berharap agar single ini dapat diterima oleh masyarakat Malaysia dan akan dimainkan di corong corong radio.

"Lebih signifikan, saya berharap agar 'Sibuk' mampu memenuhi citarasa pendengar yang mendengar.

"Sekiranya lagu ini diterima baik dan menjadi siulan ramai, maknanya pendengar mahukan lagu yang sebegini," katanya lagi.

Sibuk merupakan single terbitan dan edaran Warner Music Malaysia.

Single ini boleh didapati di kesemua pelantar digital bermula 20 Julai ini.


Teks: Noor Zulaikha Yusof