Pelakon Alvin Wong menceritakan pengalaman mencabar bergelumang dalam air bertakung, darah palsu dan mentega kacang ketika penggambaran filem Pulang.

Kata Alvin sebagai individu yang menghidap penyakit Obsessive Compulsive Disorder (OCD), pengalaman itu antara yang sukar dilupakan seumur hidupnya.

"Salah satu babak memerlukan saya dan Remy menyorok di sebalik timbunan mayat dalam sungai.

"Untuk merealisasikan babak itu, dua bahagian sungai disekat bagi memastikan air bertakung dan semua pelakon yang menjadi mayat disiram dengan darah palsu dan mentega kacang.

"Beberapa bahagian badan saya yang kononnya tercedera juga ditampal dengan mentega kacang dan darah palsu.

"Sebagai penghidap OCD saya tidak suka benda yang melekit dan melekat di badan. Rasa geli!" kata Alvin kepada Gempak.

Emosi jijik itu dizahirkan Alvin dalam babak itu dan ia bukan reaksi wajah yang dibuat-buat.

"Saya betul-betul geli sebenarnya. Itu emosi real OCD dan bukan lakonan.

"Selepas habis babak itu saya mengambil masa dua jam untuk mandi dan bersihkan badan sampai saya rasa betul-betul bersih," tambahnya.

Seriously, it's not as painful as it looks... #shooting #pulangmovie #malaymovie

A post shared by Alvin Wong (@alvinbebop) on


Alvin memberitahu, penyakit OCDnya menjadi lebih serius sejak menginjak usia 30-an.

"Kalau zaman budak-budak dulu saya memang pengotor, main dalam longkang, tangkap ikan dan sebagainya.

"Tapi sejak meningkat usia, lain pula jadinya," kata Alvin yang mendukung peranan sebagai Lum dalam filem Pulang.

Pulang turut dibarisi pelakon hebat seperti Remy Ishak, Puteri Aishah, Azrel Ismail, Erwin Dawson, Juliana Evans dan ramai lagi.

Filem arahan Kabir Bhatia itu akan mula ditayangkan di pawagam bermula 26 Julai nanti.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @alvinbepop