Penyanyi Black Hanifah mendedahkan dirinya kini aktif berkongsi pengalaman dengan golongan belia menerusi ceramah motivasi anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM).

Mendekatkan diri dengan generasi belia Felda dan menyertai jelajah beberapa sekolah sekitar Felda, Black menganggap peluang sebagai satu cara untuknya berbakti kepada masyarakat.

"Baru-baru ini, saya dilantik sebagai duta MBM dan antara peranan saya adalah untuk memberikan ceramah motivasi kepada mereka.

"Saya menggunakan peluang untuk mendekati golongan belia Felda bagi menaikkan semangat mereka agar sentiasa gigih berusaha untuk maju ke hadapan," katanya.

Black ditemui di majlis kenduri durian anjuran restoran Teh Tarik Place cawangan Setapak Central baru-baru ini.





Hadir sama ialah Tomok, Shahir Zawawi dan Fahrulrazi Kassim, Pengarah Cuisine Inspire Sdn Bhd yang merupakan pemilik Teh Tarik Place cawangan Setapak Central.

Tambah pelantun lagu Sofea Jane ini, dia menyumbang dengan berkongsi pengalaman sepanjang berada dalam bidang seni sebagai penyanyi untuk memberi lebih galakan kepada mereka.

"Saya beri suntikan semangat kepada generasi ini dengan bercerita mengenai pengalaman yang saya kutip sepanjang bergelar anak seni.

"Saya ceritakan kepada mereka, industri hiburan yang saya ceburi juga boleh menjana pendapatan jika kena dengan caranya.

"Saya yakin ramai belia Felda mempunyai bakat tersendiri yang boleh diketengahkan dalam industri hiburan kita tetapi mereka tidak tahu cara yang betul untuk mengembangkannya.

"Saya berkongsi cerita serba sedikit mengenai pengalaman saya sebagai suntikan semangat untuk mereka mula mencari jalan untuk melangkah ke hadapan," katanya lagi.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Black