Gandingan duo pelawak popular, Zizan Razak dan Johan atau lebih dikenali sebagai Jozan kembali dipertemukan dalam program bual bicara terbaru yang akan bersiaran secara langsung selama 40 minggu.

Zizan mengakui dia merindui program sebegini selepas kali terakhir penampilan mereka bersama menerusi program Maharaja Lawak Mega pada tahun 2012.

"Saya sudah lama tiada program 'talk show' dan sangat rindu untuk bersama Johan. Jozan dulu mungkin ada kekurangan tapi kali kini kami mahu semua lebih berhibur," katanya pada sidang media program terbaru, Jozan di Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, peminat sudah lama tidak menyaksikan aksi jenaka Jozan dan kali ini mereka juga akan membawa kejutan pada penonton.



Bagi Johan, meskipun mengakui selesa sebagai penyampai radio ERA, dia juga mahu muncul di TV bersama Zizan dalam program terbaru ini.

"Semua orang pernah menonton jenaka seperti Bocey, Zero dan Jozan tapi masing-masing ada pembawakan mereka sendiri.

"Beza pembawakan kami tidak banyak sketch dan saya percaya sesiapa saja boleh menonton program ini," katanya.

Menariknya, program Jozan yang akan disiarkan secara langsung dari Studio 1, Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula 24 Julai ini menjadi program pertama untuk slot Lawak Live pada setiap Selasa jam 10 malam.

Kali ini, program selama sejam ini mengetengahkan isu terkini dan viral menerusi pelbagai bentuk aktiviti hiburan berteraskan komedi seperti permainan, sketsa, debat santai, persembahan muzikal, parodi dan temubual.

Sebanyak 22 aktiviti hiburn diwujudkan dalam program ini antaranya Perang Jantina, Bakat Ke Laut, Kita Ke Mahkamah, Lip Sync Battle, Horror Latah, Bual Bicara dan Hos vs Hos Challenge.

Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh pula berkata, penampilan Jozan kali ini lebih matang dan berkongsi pengalaman mereka dalam program komedi ini.

"Jozan mempunyai resipi mereka sendiri apabila buat jadi lain, itu uniknya mereka dalam program ini," katanya.

Buat peminat Jozan, saksikan program ini yang akan disiarkan di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) bermula 24 Julai ini, jam 10 malam.

Teks oleh: Elrafaei Sapi