Pelakon Zara Zya akui telah menolak beberapa tawaran berlakon demi memberi komitmen dan fokus pada program Super Spontan Xtravaganza (SSX) yang disertainya.

Zara berkata sudah tiba masanya untuk dia mencabar diri melalukan sesuatu luar dari kebiasaan dengan menyertai program tersebut yang akan bermula 20 Julai ini.

“Bila dapat sahaja tawaran untuk menyertai program ini saya terus terima dan cuba menolak semua tawaran berlakon lain.

“Saya gembira apabila dipanggil untuk menyertai pertandingan ini kerana ia sangat menarik dan luar dari kebaisaan yang pernah saya lakukan.

“Bagaimanapun, ia jauh lebih sukar daripada lakonan sebenarnya kerana otak kita perlu segar dan pantas dalam memberi respons selain perlu kreatif agar tidak hambar.” katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai persiapan dirinya untuk menyertai program tersebut, Zara memberitahu dia perlu membuat kajian sendiri serta meminta tunjuk ajar daripada rakan baiknya, Jihan Muse.

“Saya perlu banyak buat ‘research’ sendiri lah di YouTube dan internet serta sebagainya.

“Selain itu mungkin saya boleh meminta nasihat daripada Jihan yang pernah menyertai pertandingan ini,” katanya lagi.

Selain Zara, SSX bakal menampilkan 15 selebriti serta pelawak lain seperti Tomok, Achey, Shahrol Shiro, Nizam Jentik Jentik, Tauke Jambu, Atu Zero, Izzue Islam, Siti Elizad, Reza Zainal, Rashid Salleh, Fad Bocey, Abam Bocey, Mamak Puteh, Joey, Anas Ridzwan dan Jaa Suzuran.

SSX bakal bersiaran secara langsung dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat bermila 20 Julai, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Teks oleh: Syafiqah Jalal