Pelakon drama Mr Grey, Fendy Bakry mengakui kesal apabila penyakit misteri yang dihadapinya dianggap sebagai gimik oleh sesetengah pihak.

Menurut Fendi, dia tidak mahu menuduh sesiapapun berkaitan penyakit misterinya itu.

"Saya kecewa dan terkilan kerana ada pihak mendakwa penyakit misteri dihidapi adalah gimik untuk menaikkan nama dalam industri seni.

“Terus terang, saya memang terlantar sakit selama tiga bulan kerana menderita penyakit misteri baru-baru ini.

"Sepanjang pengetahuan, saya tidak ada musuh dan percaya sakit misteri itu ujian paling berat dari Allah SWT sepanjang berkecimpung dalam bidang seni.

"Saya bukan bodoh untuk buat gimik atau publisiti murahan dengan cerita pura-pura jatuh sakit untuk menaikkan nama.

“Sebagai artis baru, saya lebih selesa dikenali peminat kerana bakat yang dipertaruhkan,” katanya.

Mengulas tahap kesihatannya kini, kata Fendy, dia bersyukur dirinya sudah pulih sepenuhnya dari penyakit misteri terbabit.

“Alhamdulillah, saya sudah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk kembali aktif dalam bidang seni.

“Semuanya berkat doa dari peminat, pengurusan dan ahli keluarga yang tidak pernah putus berdoa untuk melihat saya kembali pulih,” katanya.

Sumber: Harian Metro