Kecoh di media sosial hari ini mengenai satu risalah pelancongan yang tertera percutian ke tempat Gohet Gostan seperti mana pernah diucapkan dialog Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi filem 3 Abdul.

Dalam risalah itu yang menjadi viral menerusi mesej WhatsApp menyatakan pakej perlancongan ke Gohet Gostan adalah sebanyak RM4,750 untuk seorang.

Ia merangkumi percutian ke tiga destinasi utama iaitu Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Uzbekistan.

Bagaimanapun, apa yang menjadi tanda tanya pada netizen adalah sama ada nama tempat Gohet Gostan memang benar-benar wujud seperti mana diperkatakan dalam dialog filem P Ramlee sebelum ini.

Selebriti TV popular, PU Taha atau kini lebih dikenali sebagai Dr T ketika dihubungi Astro Gempak untuk mendapatkan komennya, beliau menyatakan nama tersebut sebenarnya tidak wujud!

Jelasnya, perkataan itu digunakan sebagai strategi pemasaran yang dijalankan agensi pelancongan untuk menarik perhatian orang ramai pergi melancong.

"Ia bukan nama negara, cuma untuk pemasaran. Nama itu adalah punchline daripada filem P Ramlee dan itu hanyalah nama pakejnya saja," katanya.

Dalam filem 3 Abdul, P Ramlee berdialog dengan menyebut Gohet Gostan sebagai jenakanya ketika menyatakan nama beberapa negara lain seperti Afganistan dan Pakistan.

Ia adalah filem terakhir P Ramlee bersama Malay Film Productions yang ditayangkan pada tahun 1964.

Teks oleh: Elrafaei Sapi