Artis ternama seperti Hael Husaini, Haqiem Rusli dan Datin Diana Danielle diundang untuk menyerikan rancangan nombor satu Disney (saluran 615), Club Mickey Mouse musim kedua!

Mereka menjadi tetamu selebriti yang diundang untuk menggamatkan perjalanan musim kedua rancangan tersebut dan bakal memeriahkan lagi Club Mickey Mouse bersama kumpulan Mouseketeer!

Charis akan kembali menghidupkan peranannya sebagai Ketua Mouseketeer bersama dengan ahli Mouseketeer lain iaitu Dheena, Erissa, Faiz, Gabriel dan Wafiy.



Selepas Mouseketeer Natasya mengucapkan selamat tinggal kepada Club Mickey Mouse, bakat baru Ellya yang berumur 14 tahun akan menyertai keluarga Mouseketeer dalam musim baru ini.

Kumpulan Mouseketeer yang comel ini akan terus menghiburkan kanak-kanak dan seisi keluarga dengan rancangan kontemporari yang menepati citarasa unik tempatan!

Mengimbas kembali perjalanan program ini, Club Mickey Mouse telah diperkenalkan buat julung kali di Asia Tenggara pada September 2017.

Musim pertama rancangan ini menikmati kejayaan yang memberangsangkan, sekaligus menjadi rancangan nombor satu di saluran Disney dengan 2.7 juta penonton televisyen, 11 juta pengunjung platform digital, serta 14 juta tontonan video di Laman Facebok Saluran Disney.

Rancangan beraneka ragam ikonik untuk kanak-kanak ini mula disiarkan pada 1955 di Amerika dan sejak itu telah diberi format baru dan diolah semula supaya ia kekal relevan dengan penonton.

Siri yang mengandungi 13 episod ini akan menyajikan kandungan dalam gabungan Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.

Jangan lupa saksikan Club Mickey Mouse musim kedua ditayangkan setiap Jumaat, 2.30 petang bermula 6 Julai 2018 di Disney (saluran 615). Ia juga dapat dinikmati menerusi On Demand.

Peminat juga boleh menikmati lagu hebat ini di laman Disney Channel Asia YouTube, www.youtube.com/DisneyChannelAsia

Teks: Kamaruddin Razal