Pelakon Erra Fazira mengakui rakan baiknya penyanyi Ziana Zain mempunyai semangat yang kuat untuk meneruskan kehidupan selepas bercerai dengan suaminya pada minggu lalu.

Menurut Erra, dia meminta agar orang ramai tidak menghukum Ziana di media sosial dan memberi ruang kepada penyanyi itu untuk menentukan keputusan dalam hidupnya.

"Ziana pasti mempunyai alasan yang kukuh apabila mengambil keputusan berat seperti itu apatah lagi sudah lama berusaha mempertahankan perkahwinannya.

"Saya tahu, Ziana tidak keseorangan dan mempunyai ramai insan di sisi sebagai pemangkin semangat termasuk keluarga dan anak-anak.

"Kita tidak berada pada tempatnya jadi saya berharap agar orang ramai dapat menghormati keputusan yang dilakukan dan tidak memberi sebarang tekanan pada Ziana.

"Ini kerana sudap pasti Ziana tahu apa yang terbaik untuk dirinya dan anak-anak. Sebagai orang luar, lebih baik kita mendoakan kebahagiaannya," katanya kepada Astro Gempak.

Erra berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka syarikat pengurusan Mind Order di Kache's, Seksyen 26, baru-baru ini.

Pada Khamis lalu, Ziana telah bercerai talak satu dengan Armin Zaharin Ahmad Zambri di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga sejak 20 tahun lalu itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Pada 3 April lalu, Ziana memfailkan perceraian di mahkamah yang sama selepas Armin dikatakan enggan melepaskannya secara bai.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto: Instagram Erra