Bertapak lebih sepuluh tahun dalam arena nyanyian, bakat dan kebolehan Imran Ajmain memang tidak boleh disangkal lagi.

Mengadakan konsert mini Sepuluh Tahun Pertama yang berlangsung di Studio Recital, Esplanade, Singapura pada Sabtu lalu, Imran berjaya membawa peminatnya larut dalam emosi.



Panggung yang 'full-house', dipenuhi dengan kehadiran 300 penonton terpukau dengan kelunakan suara Imran menyampaikan rangkaian lagu popularnya.

Sudah Tu Sudah, Malu, Selamat Ulang Tahun Sayang, Jika Engkau Pergi, Hanya Menari, Dikalung Kasihan dan Ghaibmu tersaji sebagai halwa telinga sempurna untuk peminatnya.

Imran juga sempat membawa penonton menelusuri perjalanan seni bapanya, Allahyarham Ahmad Husaini Ajmain yang merupakan penerbit, penyusun muzik dan penggubah lagu terkenal untuk penyanyi era 80-an.



Ibu dan kakak kepada Imran yang turut hadir ke konsert mini terbabit menangis sebak dalam gembira tatkala Imran menyampaikan lagu Rintihan Hati, Apa Salah Beta dan Musliha.

Penonton yang ada dalam Studio Recital turut sama sedih ketika Imran menyampaikan lagu-lagu dalam slot khas sebagai tribute untuk arwah bapanya.



Menerusi konsert mini yang diadakan bersempena minggu Pesta Raya - Festival Seni Melayu yang berlangsung di Esplanade, tidak berlebihan sekiranya konsert tersebut dianggap sebagai satu sejarah baru dalam catatan kerjaya seni Imran sebagai seorang penyanyi yang mempunyai keunikan tersendiri.

Sebagai penutup, Imran menyampaikan lagu terbarunya, Sentiasa Merinding, Intan & Perak serta lagu yang meledakkan namanya dalam industri hiburan, Seribu Tahun.



Sepuluh tahun pertama Imran diwarnai dengan pelbagai ragam serta kisah pahit manis anak seni yang mempunyai impian besar dalam dunia nyanyian.

Seperti tajuk lagu popularnya, Seribu Tahun, semoga Imran terus berkarya dengan ikhlas bagi mewarnai perjalan seni untuk 990 tahun akan datang.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Zaidi Jupri, @theshahrulizzat untuk @ss_creatives