Setelah 20 tahun melayari bahtera hidup bersama, akhirnya Armin Zaharin Mohd Zambri menceraikan penyanyi Ziana Zain dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

Ziana, 50 melahirkan rasa bersyukur kerana semuanya telah berakhir dengan tenang dan mudah.

"Alhamdulillah, semuanya berakhir dengan lancar dan mudah. Saya sentiasa berdoa kepada Allah supaya diberikan ketenangan jiwa selepas ini.

"Saya juga berdoa supaya dipermudahkan segala urusan saya serta pihak di sebelah sana," katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Menurut Ziana, dia telah lama memaafkan bekas suaminya dan tidak mempunyai sebarang rasa dendam terhadap Armin.

"Sudah lama saya maafkan...Saya tidak berdendam dan saya bukannya orang sebegitu.

"Saya tidak mahu fikir tentang perkara lain buat masa ini. Fokus saya sekarang hanya kepada anak-anak," ujarnya.

Ziana memfailkan kes penceraiannya dengan bekas suami, Armin pada April lalu.

Pasangan ini bernikah pada Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.


Teks Oleh: Noor Zulaikha Yusof
Sumber: Harian Metro