Selebriti TV popular, PU Taha atau kini lebih dikenali sebagai Dr T mengakui pada mulanya dia dipaksa bapanya untuk belajar di luar negara seawal usia 15 tahun sehingga melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Beliau yang berasal di Houghton, Michigan, Amerika Syarikat menceritakan hanya bersekolah sehingga darjah 3 sebelum masuk ke sebuah madrasah di Pakistan untuk menghafal al-Quran.

"Saya berada di sana pada tahun 2000 ketika usia 15 tahun, dengan bahasa, budaya dan makanannya lain. Bayangkan saya mengalami kejutan budaya," katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya, beliau ketika itu menuntut di madrasah yang sama dengan abangnya yang berada di Tingkatan 1 pada masa itu.

"Pada usia 14 tahun, saya sudah menghafal 30 juzuk al-Quran tapi abah kata masih tak cukup menghafal al-Quran, kena fahami isi kandungan maka dia menghantar saya ke Pakistan untuk mempelajari bahasa Arab, ilmu feqah dan hadis.

"Pertama kali saya berada di bandar Faisalabad, saya buat syahadah dalam al-Quran selama 2 tahun dan kemudian ke Lahore di Madrasah Arabiah Raiwind Lahore untuk mempelajari arab, hadis dan al-Quran sehingga tahun 2009," katanya.

Sekembali ke tanah air pada usia 24 tahun, beliau menggunakan kelulusan yang ada untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Pengurusan Pembangunan Islam.

"Saya ingat dah cukup tapi abah kata tak cukup, saya kena terus buat PhD.

"Namun, saya kata boleh buat PhD tapi bagi saya kahwin dulu. Habis pengajian Sarjana, saya berkahwin pada usia 26 tahun dan masa dapat anak pertama saya sudah membuat PhD," katanya.

Menariknya, dalam tempoh pengajian 3 tahun 6 bulan beliau yang juga selebriti radio jemputan di Zayan berjaya tamatkan pengajian PhD dalam bidang Pengurusan Berterasankan Islam di USM.

"Habis belajar saya mula masuk program Pencetus Ummah dan didedahkan dengan pelbagai program Astro Oasis seperti Family Ohsem dan Jejak Adam.

"Malah, saya juga menerima banyak jemputan dan dari situ populariti saya mula bertambah," katanya.

Akuinya, pada awal belajar memang dikatakan dipaksa bapa untuk belajar di luar negara,

"Saya berterima kasih pada ibu bapa saya kerana mereka bukan dari bidang agama tapi sains.

"Bapa seorang jurutera dalam bidang kimia manakala ibu seorang profesor dalam biologi tapi mereka tahu bahawa kejayaan mereka sebagai ibu dan bapa adalah dengan memastikan anak mereka boleh belajar ilmu agama dan berkhidmat pada masyarakat.

"Jadi mereka telah mengorbankan keinginan mereka dan meletakkan saya dalam suasana keagamaan dan sehingga hari ini, apa saja dalam kehidupan saya tidak pernah berhenti bersyukur kerana tanpa mereka saya tidak tahu ke mana saya kini," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @drtahaomar