Pelakon Ashraf Muslim telah berkongsi tip untuk ibu bapa mengenai penjagaan anak ekoran dari peristiwa yang melibatkan Allahyarham Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, bayi kecil yang ditemui mati di rumah pengasuh baru-baru ini.

Ashraf berharap agar masyarakat mengambil iktibar dari kejadian itu terutamanya golongan ibu bapa yang harus lebih berwaspada dalam soal memilih pengasuh.

"Sebelum membuat keputusan menghantar anak ke rumah pengasuh, cuba sebaik-baiknya cari keluarga terdekat untuk membantu atau selidik latar belakang pengasuh.

"Ada baiknya, isu penjagaan anak atau mencari pengasuh dititikberatkan sebelum bayi lahir, begitu juga dengan perkara lain.

"Seperkara lagi, usah terlalu mudah percaya dengan orang luar," kata Ashraf.

Selain itu, bapa kepada tiga orang anak ini turut menyatakan bahawa ibu bapa harus sentiasa memantau cara layanan yang diberi pengasuh terhadap anak-anak agar kejadian buruk sebegini dapat dihindari.

Teks : Asraf Aided
Sumber : Berita Harian