Pelakon, Aprena Manrose menjadi mangsa terbaharu pihak tidak bertanggungjawab apabila laman sosial Instagram peribadinya digodam baru-baru ini.

Aprena, 25, memberitahu akaunnya digodam bila secara tidak sengaja tertekan link untuk 'verified account'.

"Kita bangun pagi tak perasan tertekan. Lepas itu terus saya tengok akaun saya kena godam.

"Saya sekarang sedang berusaha mendapatkan kembali akaun Instagram yang mempunyai lebih daripada 390,000 pengikut itu.

"Mungkin bagi orang lain 390,000 pengikut itu sedikit, namun ia dah cukup banyak bagi saya yang merupakan pendatang baharu dalam industri.

"Ada netizen yang menawarkan bantuan tapi dengan syarat kena bayar dia dulu. Saya tak teruskan kerana takut itu adalah satu penipuan (scam)," katanya.

Aprena ditemui pada majlis rumah terbuka Da Motion Media dan pelancaran filem Jodoh Syaitan di Lake Park Residence, Selayang.

Menurut Aprena, dia berasa sedikit kesal kerana pelbagai urusan tergendala disebabkan hal ini.

Antaranya, review berbayar terpaksa diberhentikan selain saya tidak dapat mempromosikan filem dan drama lakonan kepada pengikutnya di Instagram.

Aprena atau nama sebenar, Wan Syahira Putri Aprena Wan Syahman bakal bergandingan dengan Soffi Jikan di dalam filem Jodoh Syaitan.


Teks: Noor Zulaikha Yusof