Penyanyi Aiman Tino menjelaskan ibunya, Hazelina Mat Jalil tidak memberi keizinan untuknya bergelar seorang pelumba kereta.

Menurut Aiman, perkara itu dilakukan oleh ibunya kerana risau dengan keselamatan dirinya ketika menyertai perlumbaan.

"Pada awalnya ketika mendapat tawaran ibu tidak memberi keizinan pada saya untuk menjadi seorang pelumba kereta.

"Ini kerana ibu risau tentang keselamatan saya kerana perlumbaan kereta ini mempunyai banyak risiko.

"Namun selepas menjelaskan mengenai tawaran tersebut akhirnya ibu faham kerana saya mahu mencuba sesuatu yang baharu dalam industri.

"Jadi saya akan lakukan yang terbaik dalam perlumbaan akan datang kerana mahu buktikan yang saya mampu menjadi pelumba kereta yang hebat," katanya kepada Astro Gempak.

Aiman berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan barisan pelumba Toyota Gazoo musim kedua di APW Bangsar, baru-baru ini.

Selain Aiman Toyota Gazoo musim kedua ini turut disertai oleh Akim Ahmad, Khai Bahar, Wany Hasrita, Nabila Razali, Syukri Yahaya, Janna Nick, Datin Diana Danielle dan Nabil Ahmad.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto: Instagram