Adik kepada aktres Uqasha dan Nelydia Senrose, Raysha Rizrose tidak mempunyai sebarang masalah apabila dikatakan dibayangi populariti dua kakaknya.

"Saya merasakan perkara itu bukan satu masalah kerana semua orang tahu yang saya bermula dari bawah dengan sendirinya dan bukan dengan bayangan populariti kakak-kakak saya.

"Saya sendiri bermula dengan pencarian Dewi Remaja dan semuanya saya lakukan sendiri sehingga saya bergelar juara. Dalam bidang lakonan pun, saya tidak segan untuk menghadiri sesi ujibakat untuk mendapatkan sesuatu watak. Semuanya dilakukan sendiri, bukan dengan bantuan Uqasha atau Nelydia," kata Raysha kepada Astro Gempak.

Tidak mahu mengambil pusing kata-kata buruk yang dilemparkan sesetengah pihak, Raysha mahu berusaha untuk memberikan kualiti kerja yang baik agar kehadirannya dapat memberikan impak terhadap dunia hiburan.

"Kalau ada yang bercakap saya dibayangi populariti Uqasha dan Nelydia, saya mahu membiarkan sahaja perkara tersebut. Apa yang penting, saya berusaha sendiri dan mahu memberikan yang terbaik dalam bidang lakonan kerana ini adalah minat saya," katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Raysha bakal muncul dalam filem pertama lakonannya, Dukun Doktor Dani arahan Sabri Yunus.

Selain Raysha, filem Dukun Doktor Dani dibintangi oleh Taufik Batisah, Fasha Sandha, Amerul Afendi, Yus Jambu dan ramai lagi. Jangan lupa saksikan filem ini di pawagam bermula 28 Julai ini.