Program Bicara Filem KLFS anjuran Kuala Lumpur Film School (KLFS) terus menarik perhatian ramai peserta bukan saja dalam kalangan penonton tempatan dan antarabangsa tapi bukan Melayu hadir berdiskusi mengenai filem Melayu.

Penasihat Akademik, KLFS, Dr Khairulfazi Saari berkata, program yang diadakan dua minggu sekali pada hujung minggu ini memberi ruang pada penggiat seni perfileman termasuk orang ramai untuk hadir menimba ilmu.

"Menariknya, penggiat seni bukan Melayu ini datang selepas mendengar hebahan mengenai aktiviti ini dari mulut ke mulut. Kebanyakan mereka pertama kali turut serta dalam program ini," katanya kepada Astro Gempak.

Ujarnya, program secara percuma ini yang bermula jam 2.30 petang dipertontonkan tayangan filem yang dipilih kepada peserta sebelum sesi diskusi dijalankan bersama pengarah filem terkenal, U-Wei Saari selaku moderator.

"Tujuan program ini adalah untuk berkongsi dengan orang lain yang berpeluang melontarkan persoalan seperti apakah pendekatan baru atau cabaran yang dihadapi dan sebagai pembikin filem, program ini suatu yang bagus untuk dibincangkan," katanya.

Pada Ahad lalu, KLFS membawa topik Perspektif Pembikin Filem (Siri Pengarahan Filem) bersama tetamu jemputan iaitu pengarah filem Hijabsta, Syed Zul Tojo.

Acara yang diadakan di KLFS yang terletak di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur itu mengajak tetamu berbicara lanjut mengenai filem Hijabsta.

"Filem ini menjadi motivasi yang bagus dan juga dianggap filem pendidikan pada penonton. Namun, filem mempunyai dua sudut penting iaitu kadang-kadang subjek bagus tapi penyampaian tak bagus.

"Bagi saya, kedua konsep kena bagus termasuk 'production value'. Ketika diskusi filem Hijabsta itu juga, penonton bukan Melayu bertanyakan soalan pada pengarah filem itu sama ada dia faham mengenai balet.

"Kadang-kadang kita tidak terlintas dengan pandangan sebegini. Jadi, adanya platform sebegini ia suatu yang bagus untuk dikongsi bersama," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Facebook @KLFilmSchool