Selepas melakar fenomena di Malaysia, Brunei dan Singapura, filem Dukun akan ditayangkan dan bertanding di New York Asian Film Festival (NYAFF) ke-17.

Menurut wakil Astro Shaw, filem arahan Dain Said yang telah meraih kutipan RM11 juta akan ditayangkan pada 13 Julai (Jumaat) di SVA Theatre.

New York Asian Film Festival anjuran Subway Cinema and Film Society of Lincoln Center itu bermula dari 29 Jun hingga 15 Julai ini.

Selain memberi pendedahan kepada filem-filem Asia untuk diiktiraf dan ditayangkan di New York, festival itu juga akan bertanding dalam kategori Audience Awards.

Pemenang kategori itu ditentukan berdasarkan undian pengkarya filem dan penonton filem tempatan.

Pemenang akan diumumkan pada hari terakhir festival.

Filem Dukun dibintangi oleh Datin Umie Aida, Bront Palarae, Namron dan telah ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 5 April lalu.