Pelakon Datin Diana Danielle mengakui suaminya, Datuk Farid Kamil tidak pernah menghalang minatnya untuk bergelar seorang pelumba kereta.

Menurut Diana, Farid merupakan seorang individu yang sentiasa menyokong apa sahaja yang ingin dilakukan dan memberi galakan untuk terus berjaya.

"Farid merupakan individu yang sentiasa menyokong kerjaya seni saya malah dia juga mendorong saya untuk bergelar seorang pelumba kereta.

"Farid tidak pernah menghalang malah memberi sokongan tidak berbelah bahagi sebaliknya menghadiahkan saya dengan sebuah simulator bagi memantapkan skil di litar.

"Ini kerana memandu di litar amat mencabar dan saya harus memastikan keselamatan ketika berada di litar.

"Ini merupakan tahun kedua saya bersama pasukan Toyota Gazoo Racing dan tahun ini saya harus memanfaatkan pengalaman yang ada untuk bergelar juara di litar," katanya kepada Astro Gempak.

Diana berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan barisan pelumba Toyota Gazoo musim kedua di APW Bangsar, baru-baru ini.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto: Instagram