Pelakon popular, Sharifah Amani membangkitkan isu membabitkan tayangan ulangan drama atau telefilem di televisyen yang sepatutnya dibayar royalti.

Ujarnya, tiada siapa mempedulikan isu tersebut termasuk persatuan hiburan yang dipertanggungjawab memperjuang masalah dihadapi penggiat seni.

Menerusi statusnya di Twitter, @sharifahamani dia turut menyuarakan pandangan tersebut berdasarkan pengalamannya terlibat dalam persatuan sebelum ini.

Malah, dia melihat banyak persatuan hiburan yang wujud tapi tidak membawa sebarang perubahan.

Seperti mana cadangan Majlis Seni yang pernah disuarakan sebelum ini, dia juga berharap kesatuan dapat diwujudkan di bawah peruntukan undang-undang.
Bekas Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang juga Penasihat di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Kamil Othman mengakui mereka yang mempunyai kuasa terus hidup bahagia.

"Bermacam alasan diberikan pada ahli persatuan seharusnya tidak lagi bersifat pasif sebaliknya menyuarakannya kepada exco persatuan," katanya.

Menjawab isu royalti, Kamil berpandangan ia perlu diberi keutamaan dalam perjanjian antara produser dengan stesen televisyen.

"Kontrak ini mengikut template yang tidak boleh lagi di ubah oleh penyiar. Ini boleh di pantau oleh persatuan-persatuan gergasi macam Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM)," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @sharifahamani