Selepas tujuh tahun pendam, penyanyi Aizat Amdan akhirnya melancarkan single terbaharu Harapan Jadi Nyata yang didedikasikan untuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kata Aizat, lagu itu merupakan nukilan ayahnya sendiri, Datuk Amdan Mat Din yang selama ini mengidolakan pemimpin negara itu.

"Bapa saya sangat sayang dan mengagumi perjuangan Tun M, setiap perkataan yang dizahirkan akan ditulisnya.

"Asalnya lagu ini untuk memberi penghormatan kepada Tun M atas jasa beliau, tak sangka lagu ini kena dengan situasi semasa.

"Jadi, apa salahnya untuk saya lancarkan single ini sempena apresiasi buat negara Malaysia," katanya kepada Gempak.

Aizat ditemui pada majlis pelancaran single Harapan Jadi Nyata di Warner Music Malaysia hari ini.

Lagu Harapan Jadi Nyata berkonsep pop balada dan mengambil ilham daripada falsafah kepimpinan dan perjuangan Tun M sendiri.

Lagu ini merupakan ciptaan sepenuhnya Aizat dan telah dirakamkan di Emil Berliner Studio, Berlin, Jerman.

Menariknya, lagu ini pernah dipersembahkan Aizat bersama Suki Low dan Lorence Soosai dalam sebuah majlis penghormatan buat Tun M pada tahun 2011.

Harapan Jadi Nyata boleh didapati di semua pelantar digital dan muzik video lagu ini boleh ditonton di YouTube Vlog Aizat.



Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @aizatamdan