Mula dikenali sebagai PU Taha, beliau kemudian lebih popular digelar Dr T kerana kebolehan menguasai 5 bahasa termasuk Russia, Arab dan Hindi.

Beliau yang mempunyai ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Berteraskan Islam dari Universiti Sains Malaysia (USM) memberitahu mula menguasai lima bahasa itu sejak usia 18 tahun.

Jelasnya, beliau mempraktikkan komunikasi dalam bahasa Inggeris dan Urdu ketika bersama keluarga di rumah manakala berbahasa Malaysia dengan rakan-rakan.

"Ketika saya belajar di Pakistan, saya belajar bahasa Urdu, Arab dan Russia," katanya kepada Astro Gempak.

Menariknya, beliau mempelajari bahasa Russia pada usia 20 tahun kerana pada mulanya mempunyai keinginan berkahwin dengan gadis Russia.

"Jadi saya kata salah satu cara untuk perhubungan yang sihat adalah memahami bahasa bakal isteri.

"Selama 3 tahun saya belajar dengan rakan-rakan dari Kazakhstan tapi akhirnya jodoh saya tiada dengan gadis Russia.

"Pada masa itu saya minat pada pemain tenis seperti Maria Sharapova dan Anna Kournikova tapi jodoh saya rupanya dengan gadis Malaysia kacukan Pakistan," katanya.

Dr T atau nama sebenar, Taha Mohd Omar kini semakin dikenali ramai menerusi program Zayan Fikir dan sesi kelas belajar bahasa dalam segmen Salam Bros bersama Mawi dan Anas di stesen radio Astro, Zayan.

"Adanya platform seperti Pencetus Ummah dan pendidikan di tahap PhD, rezeki dari Allah membolehkan banyak permintaan untuk saya lebih banyak muncul di televisyen dan radio.

"Saya juga sangat gembira apabila Zayan mengiktiraf kebolehan saya boleh berbicara dalam 5 bahasa dan membuat kelainan dengan tazkirah dalam bentuk rap supaya anak muda lebih minat mendengar tazkirah," katanya.

Dr T yang juga guru Arab dan hafazan di Brainy Bunch, Cyberjaya mengakui belajar banyak bahasa asing boleh memahami budaya orang lain yang berbeza.

"Bahasa Russia ditutur 15 negara seperti Tajikistan, Kazakhstan dan Azerbaijan, secara tidak langsung saya boleh menjelajah seperlima daripada dunia ini.

"Malah, untuk mendalami bahasa Russia, saya masih kekal berhubung dengan rakan-rakan menerusi mesej berkumpulan di WhatsApp termasuk Pakistan," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @drtahaomar