Sering diberi peranan sebagai pelakon pembantu, aktres Wan Sharmila tidak kisah atau malu untuk mengambil tawaran berlakon biarpun sudah lama dalam industri lakonan.

"Saya fikir saya memang ditakdirkan untuk menjadi pembantu. Dari dulu sampai sekarang, mungkin saya bagus untuk menjadi pembantu.

"Pembantu itu sebenarnya lagi penting. Kalau pembantu itu tidak membantu, hasilnya tidak menjadi.

"Biarpun sekadar menjadi watak pelakon sampingan, tetapi saya harap dapat membantu watak utama bagi mencantikkan lagi jalan cerita.

"Kalau saya memegang watak utama, tetapi gagal memainkan peranan dengan baik akan mengundang keburukan di kemudian hari.

"Selain itu, Lala juga bersyukur kerana muka-muka baharu yang ada kini tidak menutup rezekinya dan terus diberikan kepercayaan untuk berlakon," katanya.

Tambah Lala, dia kini baru sahaja selesai penggambaran drama bersiri Cinta Tiada Ganti yang akan bersiaran di Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (135).

Selain Lala, pelakon lain yang turut menjayakan drama tersebut adalah Nelydia Senrose, Aedy Ashraf, Hafidz Roshdi, Sweet Qismina, Ben Amir dan ramai lagi.


Teks Oleh: Noor Zulaikha Yusof