Pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac mengakui sedia untuk menjawab segala persoalan yang akan diajukan daripada peminat.

Menurut Hans, dia ingin memberi ruang pada peminat untuk bertanyakan soalan termasuk kisah peribadinya pada konsert Baik Punya 4D yang akan diadakan pada 26 hingga 28 Julai ini.

"Konsert ini sebenarnya lain daripada yang lain kerana peminat yang hadir berpeluang untuk bertanyakan apa sahaja soalan pada saya dan tiga orang rakan yang lain iaitu Afdlin Shauki, Awie dan AC Mizal.

"Segala soalan yang diajukan akan dijawab oleh kami semua secara jujur dan mereka juga boleh bertanyakan soalan tentang hal peribadi juga.

"Kalau boleh soalan yang diajukan itu biarlah panas kerana itu akan menghangatkan lagi suasana ketika konsert.

"Jadi ini adalah satu-satunya konsert yang memberi ruang untuk bertanyakan soalan dan mereka akan mendapatkan jawapan dalam kadar segera daripada selebriti tersebut," katanya pada Astro Gempak.

Hans berkata demikian ketika ditemui ketika majlis sidang media Baik Punya Concert 4D di Istana Budaya, baru-baru ini.

Selain Hans, konsert yang bakal diadakan pada 26 hingga 28 Julai ini turut menampilkan tiga orang selebriti iaitu Datuk Afdlin Shauki, Datuk Awie dan Datuk Ac Mizal.

Dapatkan tiket sekarang di www.airasiaredtix.com dengan harga bermula dari RM98 dan untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi Tall Order Sdn Bhd di talian 03-422532241.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi