Suami kepada pelakon dan pengacara Yana Samsudin, Fadzil Zahari mendedahkan pereka fesyen yang meminjam wang RM10,000 sejak tiga tahun lalu masih belum menyelesaikan hutangnya.

"Selepas saya mengeluarkan satu kenyatan di Facebook, dia ada menghubungi Yana untuk menyelesaikan hutang itu secara sedikit-sedikit.

“Saya masih ingat, ketika mahu meminjam dulu, dia menangis-nangis mahu amaun berjumlah RM30,000. Sebagai suami, saya tidak benarkan. Namun begitu, Yana baik hati, dia bagi juga pinjam RM15,000.

"Bagi saya, permintaannya selepas saya keluarkan kenyataan itu sudah terlambat kerana sebelum ini, saya ada meminta untuk berbincang dengan dia secara baik," kata Fadzil.

Fadzil dan Yana berkahwin pada 13 Februari 2015 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Aisy Mateen pada 21 Julai 2016.

Pereka fesyen itu turut memuat naik beberapa foto lama Yana sebelum bertudung tetapi telah dipadamkan olehnya setelah menerima kecaman netizen.

"Tindakan undang-undang tidak akan dikeluarkan buat masa ini kerana ingin menunggu respon dia.

"Kami sebenarnya sudah pasrah dan percaya dia tidak akan membayarnya. Kalau rasa bertanggungjawab, dia bayarlah," katanya lagi.

Fadzil ditemui ketika hadir ke majlis rumah terbuka Empire Film Solution di Dataran Karyawan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang semalam.


Teks Oleh: Noor Zulaikha Yusof