Juara Gema Gegar Vaganza 2 (GGV2), Fitri Haris mendedahkan dia terpaksa menolak tawaran berlakon drama ekoran terdapat babak yang tidak patuh syariah.

Jelas Fitri, dia menolak dengan cara baik memandangkan terdapat babak dalam drama itu yang memerlukan dia bersentuhan dan mendukung wanita bukan mahram.

"Selepas menjuarai GGV2 ada banyak tawaran datang, selain produk ada juga tawaran berlakon drama.

"Namun, saya terpaksa menolak tawaran itu sebab ada babak-babak yang perlukan saya mendukung wanita.

"Bukanlah bermakna saya cerewet tetapi saya juga perlu menjaga imej sebagai penyanyi nasyid dan pensyarah," kata Fitri.

Untuk rekod, Fitri sebelum ini pernah berlakon dalam telefilem See You Di IPT sekitar 10 tahun lalu.

Bekas anggota kumpulan UNIC itu ditemui pada majlis pelancaran lagu Hanya Tuhan Yang Tahu 2018 di Butik Haqqi Shah Alam semalam.

Malah, Fitri turut dilantik sebagai duta untuk jenama pakaian itu sepanjang tempoh setahun.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @fitriharisofficial