Kejohanan bola sepak Piala Dunia kali ini bukan saja menyaksikan pasukan bola sepak terhebat seperti Jerman, Argentina dan Portugal tewas tapi salah seorang pemain Sweden, Jimmy Durmaz turut menjadi mangsa rasis atau bersifat perkauman.

Merujuk satu video yang dimuat naik menerusi akaun Twitter, @WorldCupFC memaparkan Durmaz dikritik peminat pasukannya sendiri sehingga mencetuskan isu perkauman.

Dalam rakaman itu, Durmaz diberi peluang untuk tampil ke hadapan rakan sepasukannya yang lain ketika dalam satu sesi latihan untuk menyuarakan pandangannya mengenai isu tersebut.

Menariknya, jurulatih Sweden turut menyatakan sokongan seratus peratus terhadap pemain itu.
Durmaz dipersalahkan peminat selepas melakukan kesilapan ketika perlawanan bertemu dengan Jerman yang menyebabkan pasukan lawan mendapat tendangan percuma.

"Saya ialah pemain bola sepak di peringkat tinggi di mana kita dikritik terhadap sesuatu yang berlaku dalam kehidupan.

"Ia adalah sebahagian daripada kerja dan kita boleh berdepan dengannya pada bila-bila masa setiap minggu.

"Namun, digelar pendatang asing, pengebom berani mati sehingga keluarga saya dan anak menerima ugutan bunuh, ini adalah sesuatu yanh tidak boleh diterima," katanya.

Dalam pada itu, Sweden pada perlawanan malam tadi berjaya menewaskan Switzerland dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Emil Forsberg.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @jimmydurmaz