Suatu ketika dulu, lakonan komedi Saiful Apek dinantikan ramai tidak kira menerusi sitkom mahupun filem tapi ia hanya tinggal kenangan buat peminat.

Jarang sebenarnya melihat Saiful Apek ketika ini kembali beraksi dalam filem sebagai pelakon utama jika dibandingkan sebelum ini kerap muncul dalam pelbagai filem pada penghujung 90-an dan awal 2000.

Lakonannya sebagai pelawak pentas dan pelakon komedi cukup menghiburkan ketika bersama kumpulan lawak popular, Senario bermula di sitkom sehingga muncul francais Senario The Movie pada tahun 1999, Senario Lagi (2000) dan Lagi-Lagi Senario (2001).

Begitu juga, aksinya dalam filem arahan Datuk Prof Dr A Razak Mohaideen seperti Jutawan Fakir, Kuliah Cinta, Anak Mami Kembali, Lady Boss, Main-Main Cinta, Bujang Senang dan Nana Tanjung antara yang diminati ramai penonton.



Bagaimanapun, Saiful Apek baru-baru ini berkongsi perasaannya di media sosial bersama peminat mengenai perjalanan seni kariernya ketika ini.

Ujarnya, meskipun selama ini dia membuat penonton ketawa tetapi penonton juga sebenarnya asyik membuatkan dirinya menangis.

"Kalau boleh buat masa ni, cukup2 dulu sbb tak terangkat dek bahu ni nak pikul. t'lalu berat. Kalau boleh, bagi 'emoji' je. Namun sy tetap hargai anda semua," katanya di Facebooknya.

Luahan hati Saiful Apek itu menunjukkan seolah dia sudah penat untuk berlakon karakter komedi meskipun peminat menganggap dia masih relevan untuk berlawak pada zaman ini.

Dalam status sama, Saiful Apek juga memuatkan naik komen salah seorang peminatnya yang meminati lakonannya dan turut meluahkan perasaan sebagai seorang peminat terhadapnya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Twitter @saifulapek