Ahli Parlimen Muar mencipta sejarah apabila dilantik menyandang jawatan menteri penuh termuda di Malaysia, sekali gus mencerminkan gagasan Malaysia Baharu diterajui Pakatan Harapan (PH).

Menurut laporan BH Online!, Syed Saddiq berkata, penampilan beberapa pemimpin muda dalam barisan Kabinet membuktikan corak pentadbiran kerajaan secara menyeluruh, selain sentiasa mengutamakan merit dalam idea dan sumbangan tanpa mengira umur serta latar belakang.

Dilantik menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, komitmen dicerminkan kerajaan adalah bukti usaha untuk mengangkat suara anak muda akan terus dihargai.

"Saya baru saja selesai mengangkat sumpah di Istana Negara sebagai anggota Jemaah Menteri dan bakal menggalas tugas sebagai Menteri Belia dan Sukan bagi penggal ini.

"Saya memanjatkan rasa penuh syukur dan takzim ke hadrat Ilahi atas pelantikan ini, sesungguhnya ia adalah amanah yang amat berat untuk saya pikul, namun ia berupaya digalas serta percaya kejayaan akan diraih bersama-sama seluruh anggota Kementerian Belia dan Sukan sebagai satu pasukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengetuai kumpulan pertama tujuh menteri yang baru dilantik pada majlis angkat sumpah jawatan Kabinet kerajaan Pakatan Harapan di di Istana Negara, pagi Isnin.

Istiadat angkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sambil disaksikan oleh perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Upacara pelantikan baharu itu melibatkan 13 menteri dan 23 timbalan menteri, menjadikan keseluruhan barisan Kabinet Pakatan Harapan (PH) sebanyak 26 menteri.

Sebelum ini, 13 menteri Kabinet telah mengangkat sumpah pada 21 Mei lalu.

Sumber: BH Online