Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari terpaksa menangguhkan pembedahan lutut yang sepatutnya dilakukan pada bulan lalu.

Farid, 37, yang menghadapi enam pertuduhan jenayah berkata keputusan diambil olehnya selepas mengambil kira faktor proses pemulihan selepas pembedahan yang mengambil masa selama enam bulan.

“Tempoh itu sekaligus akan menjejaskan karier seni dan jadual saya selain mengambil kira kes mahkamah yang sedang berlangsung,” katanya.

Farid hadir ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi sebutan semula kes jenayah yang dihadapinya.
Mahkamah menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pada 2011, tempurung lutut kirinya retak akibat terjatuh ketika menjalani penggambaran filem Dampak dan ia meninggalkan kesan sehingga ke hari ini.

Farid memberitahu buat masa ini dia menjalani rawatan fisioterapi bagi mengurangkan risiko kecederaannya sebelum mendapat tarikh baharu pembedahan.

“Saya tetap akan menjalani pembedahan kerana jika kecederaan itu dibiarkan ia akan bertambah teruk.
“Buat sementara ini, tawaran filem genre aksi saya tolak terlebih dahulu untuk kurangkan risiko kecederaan,” katanya

Sementara itu, peguam Faizul Mohd Nasir yang mewakili Farid memaklumkan bahawa pihaknya masih menunggu keputusan representasi yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan kesemua kes dihadapi anak guamnya itu.

Turut hadir pada prosiding hari ini, isterinya Datin Diana Dianelle dengan berbaju kurung.

Sumber: Utusan