Pelakon veteran Dalimawati Ismail pernah rasa terkilan apabila dia lebih dikenali dengan watak Kak Limah berbanding nama sebenarnya.

Sering dipanggil gelaran Kak Limah walau berada di tempat awam, Dalimawati akhirnya akur dengan panggilan itu dan bangga dengan hasil lakonannya.

"Hantu Kak Limah yang banyak mempopularkan saya. Ya, nama saya naik disebabkan Mamat Khalid sejak telefilem Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel pada 1998.

"Selepas beberapa tahun, saya diberikan watak utama dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.

"Sejak itu, ramai yang mula kenal saya semula. Ke mana-mana saya pergi peminat dewasa juga budak-budak kecil panggil saya Kak Limah, sampai lah sekarang.

"Saya pernah kata, jangan panggil saya Kak Limah sebab cerita itu sudah lama, lagipun banyak lagi drama dan watak saya lakonkan.

"Pada mulanya tak selesa, tetapi apabila terhasil filem kedua dan ketiga, saya terpaksa senyum saja

"Tapi sekali lagi saya ditawarkan kali ini filem Hantu Kak Limah, memang melekat lagi lah nama ni. Saya reda dan rasa bangga kerana karakter itu membuat saya dikenali ramai," katanya.

Dalimawati ditemui pada majlis pelancaran filem Hantu Kak Limah di WOWKL, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Filem terbitan Astro Shaw dan Infinitus Gold itu masih mengekalkan Mamat Khalid selaku pengarahnya.

Filem trilogi itu membariskan pelakon hebat seperti Datuk Awie, Uqasha Senrose, Pekin Ibrahim, Dalimawati dan penampilan khas Erra Fazira dan Datuk Seri Vida.

Hantu Kak Limah akan ditayangkan pada 9 Ogos 2018.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @dalimawati