Pelakon dan penyanyi Elly Mazlein bersyukur dan berterima kasih kerana bekas suaminya, pengarah Azmi Hata mempunyai usaha untuk bertemu dengan anak mereka, Putri Sara Sefhia, 2.

Azmi yang hadir bersendirian di kediaman Elly di Cyberjaya pada hari ke-10 Syawal menghabiskan masa selama satu jam bersama Sefhia.

"Saya tak minta banyak, cukuplah sekadar Azmi datang melawat anak dan membayar nafkah. Itu sahaja. Sefhia memerlukan kasih sayang seorang lelaki bergelar bapa.

"Saya berterima kasih kerana akhirnya dia datang dan masalah lama saya anggap sudah selesai. Saya tak mahu mengenang kembali. Selama ini saya bertindak agak 'keras' kerana semuanya saya lakukan demi anak," kata Elly.

Pelantun lagu Merry Go Round ini juga bersyukur kerana apa yang diimpikannya selama ini sudah tertunai.

"Alhamdulillah, akhirnya apa yang saya mahukan selama ini dimakbulkan. Saya berharap agar ia kekal sampai bila-bila.

"Pada awalnya, Sefhia agak kekok, dia panggil bapanya 'uncle'. Selepas ini, saya berharap agar dia kerap datang melawat Sefhia untuk membuatkan anak terbiasa dengan dirinya.

"Rasanya selepas ini, andai kata Azmi kerap melawat, semuanya akan jadi seperti biasa, Insya-Allah semuanya okay," katanya lagi.

Sumber: Media Hiburan