"Dah 80 Peratus Siap" - Yuna Bakal Muncul Dengan Album Terbaru

Hiburan

Penyanyi Malaysia yang meraih perhatian di peringkat antarabangsa, Yuna bakal muncul dengan album terbaru pada penghujung tahun ini.

"Insya-Allah, saya bakal muncul dengan buah tangan trbaru selewat-lewatnya hujung tahun ini. Saya pasti ramai peminat sudah lama menantikan karya terbaru saya.

"Setakat ini, proses penghasilan album sudah 80 peratus selesai dan semuanya akan disiapkan untuk mengubati kerinduan peminat," katanya yang ditemui di majlis tayangan filem pendek Wanita Besi di GSC Mid Valley baru-baru ini.

Menerusi majlis tersebut, Yuna turut dilantik menjadi duta produk rambut Pantene.
 

Tambah pemilik nama penuh Yunalis Mat Zara'ai ini, dia menampilkan perbezaan dalam album terbarunya.

"Jika sebelum ini, saya sering menulis secara berseorangan dalam karya terdahulu, album baru akan menyaksikan satu perbezaan.

"Saya banyak berkolaborasi dengan penulis lain untuk mencari sesuatu yang baru. Nuansa album baru ini sedikit berbeza berbanding album terdahulu.

"Saya sudah menampilkan Usher menerusi album sebelum ini menerusi sebuah lagu duet iaitu Crush tetapi untuk album terbaru, saya tidak berduet atau berpadu suara dengan sesiapa. Semuanya akan menampilkan lagu solo saya," katanya lagi.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Yuna

Artikel Berkaitan