Lebih sepuluh tahun bergelumang dalam bidang lakonan, aktres jelita Fasha Sandha mengakui dirinya baru mengenali erti lakonan yang sebenar.

Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan, 34, kini mencari watak yang lebih menarik untuk dijayakan

"Cabaran dalam karier saya adalah untuk mencari benda baru yang ingin dipersembahkan kepada penonton. Saya rasa sekarang baru saya kenal erti lakonan yang sebenar.

"Mungkin dahulu saya hanya fikirkan tentang duit ketika mengambil tawaran dan saya hanya berbekalkan sedikit asas dalam bidang lakonan. Saya berusaha untuk membina nama dan sibuk mencari rezeki untuk keluarga.

"Sekarang sudah hampir berbelas tahun terlibat dalam bidang yang sama, saya mula memahami, 'this is acting'. Setiap hari adalah hari pembelajaran untuk saya dan tidak pernah berhenti.

"Jika saya menonton semula lakonan terdahulu, pastinya saya rasa boleh buat yang terbaik untuk memperbaikinya. Selepas menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2017, saya rasa sangat bersyukur dengan hasil lakonan yang dipersembahkan dan sentiasa mahu memberikan yang terbaik kepada penonton," katanya.

Terkenal dengan sikapnya yang sentiasa berdisiplin, Fasha tetap menjadikan jawatan ibu sebagai fokus utamanya.

"Benar, saya memang seorang pelakon tetapi status ibu tetap menjadi tumpuan utama dalam hidup saya. Jawatan yang berada di tangga pertama dalam hidup saya adalah bergelar seorang ibu.

"Jika dilihat di ruangan 'bio' dalam Instagram saya pun, saya meletakkan 'title' ibu di ruangan pertama. Sebarang jenis pekerjaan yang saya lakukan pun, saya akan utamakan dua cinta hati saya," katanya lagi.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Fasha