Pelakon Sweet Qismina mendedahkan dia terpaksa memberikan komitmen terhadap dua bidang serentak iaitu pelajaran dan lakonan.

Enggan terbuai dengan populariti, Sweet mahu terus menyambung pengajiannya biarpun nama semakin dikenali.

"Saya akui kini saya sibuk untuk menguruskan dua perkara dalam satu masa. Saya memang minat bidang lakonan tetapi saya juga mahu terus belajar.

"Saya tak mahu tangguh pembelajaran. Jika saya berhenti sekejap, pastinya semangat untuk menyambung kembali pelajaran akan pudar. Biarlah saya mengorbankan masa rehat dan memberi tumpuan yang adil terhadap dua perkara serentak," kata Sweet yang ditemui di majlis tayangan perdana program Raya Astro 2018 baru-baru ini.

Merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Perhubungan Awam) di sebuah pusat pengajian tinggi swasta di Kota Damansara, Sweet mengakui dia terpaksa menolak beberapa tawaran kerana kekangan dalam bidang pelajaran.

"Saya ada menolak beberapa tawaran. Memang sayang untuk berkata tidak tetapi masa itu tidak kena pada waktunya kerana saya terikat dengan kuliah.

"Jika penggambaran dijalankan pada waktu yang sesuai, pastinya saya menerima tawaran tersebut. Apa pun yang terjadi, saya sudah menetapkan azam untuk menghabiskan pembelajaran pada waktu yang ditetapkan," katanya lagi.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Sweet