Penasihat Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Kamil Othman menyokong cadangan penubuhan Majlis Seni Negara bertujuan membantu hala tuju penggiat seni tempatan.

Ujarnya, cadangan tersebut bukan hanya suatu yang positif disambut kedua pihak sama ada penggiat seni mahupun kerajaan Pakatan Harapan tetapi membentuk ekosistem bidang seni yang lebih fokus dan teratur.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) berpandangan kewujudan badan baru ini juga dapat memperkemaskan fungsi FINAS dalam membantu penggiat seni filem khususnya.

“Filem boleh digubal menerusi Akta FINAS sedia ada tapi peranan Majlis Seni Negara sebenarnya lebih kepada bidang seni selain filem seperti muzik dan teater,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya, bidang seni dan filem mempunyai ciri-ciri persamaan yang boleh diletakkan di bawah satu entiti baru iaitu di bawah Majlis Seni Negara.

“Filem sudah mempunyai FINAS tapi muzik dan teater tiada. Jadi ia boleh digabungkan di bawah Majlis Seni Negara ini,” katanya.

Dalam usaha memajukan industri perfileman tempatan dan seni secara keseluruhan, beliau menyokong penubuhan Majlis Seni Negara ini yang dilihat menjadi dasar baru kerajaan terhadap usaha membantu penggiat seni tanah air.

Perkara ini dicadangkan dalam satu perjumpaan beberapa individu berpengaruh dan berpengalaman dalam bidang seni termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza turut serta bertemu anggota Majlis Penasihat Kerajaan baru-baru ini.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: @sharifahamani (Twitter)