Pelakon Mawar Rashid membuat laporan polis selepas mendakwa mengalami kerugian lebih RM15,000 apabila ditipu oleh wanita yang dikenalinya.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Kampung Baru Subang, Petaling Jaya, kemarin.

"Perkara ini sudah berlarutan sejak Oktober tahun lalu. Saya sudah memberi banyak masa untuk wanita ini menyelesaikan bayaran sepatutnya untuk 'job' yang saya buat membabitkan iklan makanan segera.

"Malangnya, dia kerap memberikan alasan tidak masuk akal iaitu akaun dibekukan selain menipu mengatakan klien belum melunaskan bayaran sedangkan pihak terbabit sudah berbuat demikian kepada wanita itu yang menjadi ejen," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Mawar juga mendakwa wanita itu turut menipu beberapa selebriti lain seperti Izzue Islam, Raja Ilya dan Chacha Maembong.

"Baru-baru ini, dia ada menghantar mesej kepada pengurus saya dan berjanji untuk menyelesaikan perkara ini hingga hujung bulan ini.

"Namun sebagai langkah keselamatan saya perlu ambil keputusan dengan membuat laporan polis terlebih dahulu kerana bukan saya seorang yang terkena.

"Jadi saya berharap wanita terbabit dapat menunaikan janji kerana ia membabitkan jumlah besar. Lama saya tunggu. Kasihanilah saya yang sudah bertungkus-lumus bekerja," katanya.

Terdahulu Mawar memuat naik video di Instagram Story miliknya memaparkan dia berada di balai polis bersama pelakon, Raja Ilya.

Sumber: Harian Metro