Pelakon popular, Nam Ron membuktikan karya arahannya berjudul Crossroads: One Two Jaga membawa nama Malaysia menyertai Festival Filem Antarabangsa Shanghai ke-21 di China baru-baru ini.

Khabarnya, filem tersebut dipilih sebagai 'official selection' oleh pihak penganjur festival yang berlangsung dari 16 sehingga 25 Jun ini.

Menariknya, filem itu turut meneroka pengukuhan platform jaringan sinema Malaysia dan global melalui penyertaan di dalam komponen program 'The Belt and The Road Week' di festival tersebut.

Nam Ron bersama Bront Palarae selaku produser turut disertai Joanne Goh (produser) dan pelakon, Chew Kin Wah bersama mempromosikan filem tersebut selain menjana sinergi dua hala bersama delegasi antarabangsa melalui jaringan kerjasama global (Belt & Road Initiative).

Menariknya, acara sebegini disertai 31 buah penganjur festival antarabangsa di seluruh dunia mewakili 29 buah negara seperti Cairo International Film Festival, Warsaw International Film Festival, Moscow International Film Festival dan Malaysia International Film Festival & Malaysia Golden Global Awards.

Menurut kenyataan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di Instagram malam tadi, platform 'The Belt and The Road Week' merupakan landasan strategik yang diperkenalkan bagi memperkasakan potensi kerjasama produksi, jaringan pemasaran dan pelaburan antarabangsa, ekonomi kreatif dan pembangunan seni budaya melalui jaringan sinema dunia.

"Selepas menembusi Udine Far East Film Festival di Itali dan Shanghai International Film Festival, filem 'One Two Jaga' bakal menjelajah di 17th New York Asian Film Festival, Amerika Syarikat dari 29 Jun-15 Julai 2018 ini di mana ianya turut diumumkan penganjur sebagai salah satu dari tujuh buah filem Asia yang bersaing bagi kategori Filem Cereka Terbaik (Tiger Uncaged Award).

"Filem yang dibintangi Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Amerul Affendi, Iedil Putra, Chew Kin Wah serta bintang Indonesia, Ario Bayu dan Asmara Abigail dan ramai lagi ini meneroka sisi gelap berkaitan rasuah, korupsi dan jenayah serta konflik kemanusiaan sejagat yang menghantui masyarakat," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi