Pelakon dan pengacara popular Zizan Razak bersedia untuk bersemuka dengan soalan-soalan panas yang bakal diajukan oleh saudara mara dan keluarganya ketika Aidilfitri.

Tambah pula, Zizan turut berkesempatan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di kampung halamannya di Terengganu semalam.

Malah, Zizan turut berkongsi kemeriahan rumah terbukanya melalui akaun Instagramnya malam tadi.

"Soalan itu biasalah, selagi boleh jawab saya jawab. Kalau tak boleh saya senyum.

"Saudara-mara yang faham biasanya tak akan masuk campur sangat urusan peribadi saya.

"Sebagai selebriti saya perlu bersedia luar dan dalam. Tak perlu melarikan diri atau panas baran kalau diajukan soalan-soalan sensitif misalnya jodoh," katanya.

Selepas dua tahun menyambut lebaran di Tanah Suci Mekah, Zizan kembali mengadakan rumah terbuka Aidilfitrinya bersama keluarga, sahabat dan peminatnya.

"Tahun ini rasanya waktu paling sesuai untuk saya mengadakan rumah terbuka tetapi tak adalah besar-besaran.

"Ini cara saya menghadiahkan sumbangan kepada peminat atas sokongan mereka," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Zizan bakal kembali ke Indonesia untuk penggambaran sebuah filem bersama sebuah produksi besar di negara republik itu.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @zizanrazak869