Cinta antara aktres dan pengacara Neelofa dan pelakon sasa Zul Ariffin mula berputik malam ini.



Jangan salah sangka kerana gandingan mereka sebagai pasangan bercinta bakal disaksikan menerusi drama bersiri Ti Amo Sweetheart 100 Hari yang mula bersiaran pada 1 Syawal.



Pastinya ramai peminat Neelofa dan Zul sudah tidak sabar untuk menantikan gandingan pelakon pujaan mereka di kaca televisyen.



Selain Neelofa dan Zul, bintang lain yang turut membintangi Ti Amo Sweetheart 100 Hari ialah Scha Alyahya, Elvina Mohamad, Adam Shadan, Fahad Iman, Raja Afiq dan ramai lagi.



Ti Amo Sweetheart 100 Hari mengisahkan tentang sepasang suami isteri yang berpisah kerana fitnah dan salah faham. Malissa (Neelofa) ditinggalkan suaminya, Iskandar (Zul) setelah setahun mereka mendirikan rumahtangga. Dina, permata hati Malissa dibawa pergi bersama Iskandar.



Dua tahun Malissa cuba menjejaki Iskandar, sehinggalah seorang lelaki misteri memberitahunya maklumat terkini keberadaan Iskandar dan Dina. Demi sebuah penjelasan, Malissa nekad ke Itali untuk bersemuka dengan Iskandar.



Satu insiden tak terduga di pangsapuri Iskandar, menemukan semula Malissa dengan Dina. Tidak mahu Dina kemurungan akibat terpaksa berpisah sekali lagi dengan Malissa, Iskandar membuat satu tawaran.



Apakah tawaran itu? Berjayakah Iskandar mendapatkan semula cinta Malissa dalam hanya tempoh 100 hari? Siapa pula dalang di sebalik fitnah tersebut? Masihkah ada cinta di pertemuan kali kedua?



Segalanya bakal terjawab di Ti Amo Sweetheart 100 Hari arahan Michael Ang pada malam ini, jam 7 malam bermula 1 Syawal (15 Jun) sehingga 5 Syawal (19 Jun) di Astro Ria, Astro Ria HD dan Astro Raya HD.



Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Neelofa