Pelakon Zamarul Hisham meluahkan rasa syukur apabila filem Blok 404 bakal ditayangkan pada 28 Jun ini.

Menurut Zamarul, sebagai pelakon asal dalam filem itu dia akui agak gementar mengetahui reaksi penonton terhadap filem yang akan ditayangkan itu nanti.

"Setelah pelbagai kemelut yang melanda, saya bersyukur akhirnya filem ini telah mendapat tarikh untuk ditayangkan.

"Kami bekerja sebagai satu kumpulan jadi saya taknak kerana satu isu yang berlaku ia akan memberi kesan kepada filem ini.

"Bagi saya masyarakat sekarang boleh fikir dan membezakan antara kualiti filem dengan isu peribadi.

"Saya juga yakin kekuatan yang ada pada filem ini akan membuatkan penonton untuk datang ke panggung," katanya kepada Astro Gempak.

Zamarul berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Blok 404 di Flora Terrace, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain Zamarul, filem Blok 404 ini turut dibintangi oleh Nadia Brian Fasha Sandha, Raja Azrey, Nur Risteena Munim, Kamal Adli, Zamarul Hisham dan Datuk Boy Iman.

Filem Blok 404 ini bakal memulakan tayangan pada 28 Jun ini.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi