Pelakon Nadia Aqilah mengakui lebih selesa berlakon teater berbanding terlibat dalam sesebuah drama atau filem.

Menurut Nadia, berlakon teater memberi kepuasan pada dirinya dan dapat tunjukkan bakat lakonan secara langsung di atas pentas.

"Saya lebih suka berlakon teater sebab semua orang yang terlibat dalam teater, bila bekerja mereka memang tak main-main.

"Kebanyakan orang yang terlibat dengan teater akan memberi sepenuh komitmen pada persembahan yang ingin dijayakan.

"Walaupun tidak mudah sebenarnya untuk memainkan watak dalam teater tapi saya bersyukur kerana latihan yang dijalankan dapat memberi kami mencari keserasian dalam melakukan persembahan," katanya kepada Astro Gempak.

Nadia berkata demikian ketika ditemui pada sesi latihan teater Bangsawan Dendam Laksamana, di Matic Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menerusi teater arahan Pat Ibrahim itu, Nadia akan membawakan watak Dang Anum. Selain Nadia, naskhah itu turut dibintangi Hairi Safwan, Jay Iswazir, Azizah Mahzan, Anwar Rusdini, Asmidar Ahmad dan Nasz Zally.

Bangsawan Dendam Laksamana akan mula dipentaskan di Johor pada 25 Jun hingga 1 Julai, Melaka (2-8 Julai), Pahang (9-15 Julai), Terengganu (15-21 Julai), Pulau Pinang (22-28 Julai), Kedah (30 Julai-5 Ogos), Perak (5-11 Ogos) dan Kuala Lumpur (29 Oktober – 11 November).

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto: Instagram