Ketibaan Syawal pada esok hari adalah suatu yang dinantikan lebih-lebih lagi pada kanak-kanak di Syria yang tetap gembira menyambut Aidilfitri meskipun dalam serba kekurangan.

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Syria Care Malaysia berkongsi beberapa foto kanak-kanak Syria yang berpeluang menerima sumbangan baju raya kali ini.



Menerusi program Farhatul Eid, sumbangan ini disampaikan pada 12 Jun lalu dalam satu majlis.

Menariknya, seramai 500 anak yatim di Atmeh menerima pakaian baru berupa baju, seluar dan kasut.



Keadaan kanak-kanak dan masyarakat di sana masih dalam serba kekurangan apatah lagi Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) mengesahkan gas sarin dan klorin telah digunakan dalam serangan ke atas orang awam di utara Syria pada tahun lalu.

Serangan tersebut disasarkan ke atas bandar Lataminah, Hama pada 24 Mac 2017 sebelum gas seakan klorin juga telah dilancarkan ke atas Hospital Lataminah dan kawasan sekitarnya, sehari selepas itu.

"Siasatan bersama yang dilakukan agensi PBB dan OPCW telah menemui bukti penggunaan bahan terlarang berkenaan oleh regim Bashar al Assad dalam serangan ke atas orang awam," katanya seperti dilaporkan Syria Care Malaysia menerusi Facebook, hari ini.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Syria Care Malaysia (Facebook)