Pelakon Hafreez Adam mengakui mempunyai perancangan untuk berkahwin dengan kekasihnya, Zara Zya.

Menurut Hafreez, dia tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan sebaliknya memberi tempoh selama setahun untuk mengenali hati kekasihnya itu.

"Tipulah kalau tiada perancangan. Kami ada berbincang mengenai perkara itu tapi bukan secara serius.

"Kami mahu beri masa sekurang-kurangnya setahun untuk kenal dahulu hati budi masing-masing sebagai pasangan kekasih.

"InsyaAllah, kalau ada jodoh ke peringkat seterusnya, saya nak kahwin terus, tak nak ada majlis tunang.

"Saya berharap orang ramai dapat mendoakan yang terbaik bagi hubungan kami ini semoga segalanya akan dipermudahkan," katanya kepada Astro Gempak.

Hafreez berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Previu Program Syawal Meriah Bersama Astro di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Hafreez berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri adaptasi novel Pencuri Cinta Kelas Satu bersama Emma Maembong yang akan ditayangkan di Astro Ria tidak lama lagi.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto: Instagram