Pelawak dan pelakon Abam Bocey memilih untuk menyambut sambutan hari perayaan pada tahun ini secara serdahana bersama isterinya, Norhidayah.

Menurut Abam, dia masih meneruskan misi untuk mengurangkan berat badannya supaya dapat membeli baju raya siap dipakai pada tahun ini.

"Persiapan raya pada tahun ini dilakukan secara serdahana oleh isteri.

"Saya berhasrat untuk membeli baju siap dipakai pada tahun ini kerana sebelum ini semua baju raya saya ditempah khas.

"Sebelum ini berat badan saya mencecah 188 kg. Selepas menjalani pelan diet dan senaman awal tahun ini, saya berjaya susut lebih 20 kg dan sekarang berat saya ialah 167 kg.

"Jika saya terus berdisiplin mengurangkan berat badan tidak mustahil saya mampu untuk membeli baju raya siap dipakai," katanya kepada Astro Gempak.

Abam berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2018 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Abam dan Norhidayah berkahwin pada 8 Disember tahun lalu di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam, Kuala Selangor.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto: Instagram